Thursday, June 16, 2011

Hikayat Steve si Lembu Eropah. Part 2

Suatu petang ketika pisang goreng sedang rancak meletup-letup di kuali...
Leman berjumpa dengan kawan karibnya yang bernama Sarip, seekor lembu daging yang buta sebelah mata akibat diberak secara tidak sengaja oleh burung kedidi. Ini mengakibatkan rupa Sarip kelihatan seperti kapten Jack Sparrow tetapi dalam versi lembu. Sarip juga adalah ketua bagi lembu-lembu yang ada di kampung itu kerana kehandalannya dalam menanduk terbang tiang gol di padang bola kampung mengakibatkan tiang gol patah dua dan tidak dapat digunakan lagi. Ini sekaligus menyebabkan pemuda-pemuda kampung memilih karier yang negatif seperti rempit atau ragut kerana ketiadaan tiang gol di padang bola. Sarip lalu diangkat menjadi ketua kerana menjadi hero yang telah menyelamatkan sekalian rumput-rumput yang ada di padang untuk menjadi santapan perut lembu mereka. 

Leman bercadang untuk mengajak Sarip berbincang dan bermusyawarrah antara lembu-lembu tentang bagaimana untuk menjatuhkan kedudukan Steve yang semakin hari semakin menjengkelkan hatinya. Setelah memberitahu niat jahat di hatinya kepada Sarip, Sarip lalu bertindak meng'SMS' rakan-rakan seperlembuan di Kampung Lipat Tepi supaya berkumpul di tanah lapang kerana ada perkara serius yang perlu diperbincangkan dengan kadar segera.

Maka berduyun-duyunlah lembu-lembu dari seluruh pelusuk kampung datang berkumpul di tapak bekas padang bola itu. Di hati kecil mereka tertanya-tanya perkara apakah yang terlalu serius hingga tak menyempat tunggu esok hari untuk diberitahu itu. Kerana ada diantara mereka yang sedang dalam tugasan harian seperti membajak sawah, memberi makan ikan, menjadi kereta lembu di bandar, membeli rokok di kedai Ah Keong, menggoreng gitar dan bermain facebook. Kebanyakan dari mereka tidak sempat untuk makan petang dan masih mengunyah-ngunyah baki rumput yang ada.

Setelah mereka berkumpul dengan tenang dan penuh dedikasi, lalu berteriaklah Sarip yang berada di hadapan mereka.

"Wahai lembu-lembu sekalian, terima kasih kerana hadir dan berkumpul dalam mesyuarat tergempar ini. Saya selaku ketua lembu di Kampung Lipat Tepi ini ingin menyampaikan sesuatu perkara yang sangat serius melebihi keseriusan kenaikan harga minyak negara walaupun harga minyak dunia menurun. Untuk memberkati majlis ini, saya menjemput al-fadhil Ustaz Amirul untuk memulakan majlis dengan bacaan doa diiringi dengan nyanyian lagu negaraku."

Lalu tampillah ke depan al-fadhil Ustaz Amirul menyahut seruan ketuanya itu. Ustaz Amirul adalah lembu yang berasal dari Mesir dan berkelulusan dari Universiti al-Azhar dalam kursus Rumput Berteknologi Nano. Beliau adalah pakar undang-undang dan sakit tuan di antara lembu-lembu di Kampung Lipat Tepi. Abi Hurairah merupakan tuan beliau. Beliau menjadikan Lin Dan sebagai idolanya dalam bidang sukan kerana amat meminati helahnya dalam menundukkan Lee Chong Wei secara menganjing.

Lembu-lembu pun mengaminkan doa yang dibaca oleh al-fadhil Ustaz Amirul. Setelah selesai sesi pembacaan doa, tiba-tiba kedengaran suatu suara keras yang memekik dari kejauhan...(bersambung)

1 comment: